Wednesday 6 April 2016

#14 - Solat Witr - Mudah Untuk Diamalkan

Orang biasa mengunakan istilah Qiyaamu lail.  Maksud literal istilah itu adalah "berdiri malam" dan apa yang dilakukan oleh Rasullullah SAW dalam berdiri malam ini adalah sekumpulan solat sunat. Rasullullah SAW akan bangun malam setelah tidur dan beliau melakukan Qiyaamu lail.

Rasullullah SAW ada berkata bahawa solat terbaik setelah solat wajib adalah solat sunat malam.  Ini bermaksud solat sunat selepas bangun tidur. Ada banyak hadith dan ayat Quran tentang kebaikan dan keutamaan bangun beribadat malam ini.  Saya ingin berkongsi di sini satu ayat Quran dan dua hadith.

Dari Surah Al-Isra' Ayat 79:

"Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang tinggi."

Rasullulah SAW bersabda:

"(Wahai manusia), sebarkanlah salam, berilah makan(kepada oramg fakir), sambunglah tali silaturahim, dan sembahyanglah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat."        (HR Ahmad, Tarmidzi dan Ibnu Majah)

Salah satu hadith yang saya sukai adalah seperti berikut:

"Tuhan kami turun ke langit dunia pada setiap malam ketika tinggal sepertiga malam yang terakhir, kemudian Dia berfirman:  "Sesiapa yang berdoa kepada Ku, maka Aku kabulkan.  Sesiapa yang meminta kepada Ku, maka akan Aku beri.  Dan sesiapa yang memohon ampun kepada Ku, maka akan Aku ampuni."

Ayat dan hadith-hadith di atas boleh memberi kita motivasi untuk melakukan Qiyaamu lail.  

Dari hadith, Rasullulah SAW diriwayatkan melakukan 11 atau 13 rekaat solat dalam Qiyaamu lail. Disebabkan matlamat saya menulis blog ini adalah untuk memberi pengenalan mudah kepada sunnah harian, saya akan andaikan kita bangun 15-30 minit sebelum masuk waktu Subuh.  Jadi setelah melakukan sunnah-sunnah lain setelah bangun pagi(seperti yang telah diceritakan dalam posting-posting sebelum ini), kita hanya ada masa yang singkat untuk Qiyaamu lail.

Dengan itu, lakukanlah Solat Witr.  Bab tentang cara dan kaedah solat witr boleh rujuk pada guru masing-masing atau kitab.  Jika dalam masa yang singkat, buatlah 3 rekaat.  Dan jika terlalu singkat, mengikut hadith :"Dan jika kamu takut waktu Subuh tiba, maka berwitirlah satu rekaat."  (HR Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Satu perkara yang bagus tentang Qiayaamu lail dan Solat Witr ini adalah biasanya ia dilakukan tanpa dilihat sesiapa kecuali Allah dan para malaikat.  Ibadat ini tidak diketahui orang ramai dan tidak perlu diketahui orang ramai.  Ini berbeza dengan solat sunat dhuha yang selalunya berlaku ketika waktu bekerja dan selalunya akan dilihat orang lain dan juga akan mengambil masa bertugas.  

Rumusan posting kali ini adalah tentang keistimewaan dan mudahnya Qiyaamu lail.  Jika ingin memulakannya(tidak pernah lakukan sebelum ini dan tidak cukup masa apabila bangun sebelum Subuh), mula dahulu dengan 3 rekaat Solat Witr.  Jika tidak cukup masa untuk 3 rekaat, lakukan 1 rekaat.  Seperti sabda Rasullullah SAW:  "Sembahyang witirlah wahai Ahli al-Quran, kerana sesungguhnya Allah itu witr dan Ia menyukai witr."  (HR Ahmad, Abu Daud dan Tarmidzi)

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.