Wednesday 6 April 2016

#14 - Solat Witr - Mudah Untuk Diamalkan

Orang biasa mengunakan istilah Qiyaamu lail.  Maksud literal istilah itu adalah "berdiri malam" dan apa yang dilakukan oleh Rasullullah SAW dalam berdiri malam ini adalah sekumpulan solat sunat. Rasullullah SAW akan bangun malam setelah tidur dan beliau melakukan Qiyaamu lail.

Rasullullah SAW ada berkata bahawa solat terbaik setelah solat wajib adalah solat sunat malam.  Ini bermaksud solat sunat selepas bangun tidur. Ada banyak hadith dan ayat Quran tentang kebaikan dan keutamaan bangun beribadat malam ini.  Saya ingin berkongsi di sini satu ayat Quran dan dua hadith.

Dari Surah Al-Isra' Ayat 79:

"Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang tinggi."

Rasullulah SAW bersabda:

"(Wahai manusia), sebarkanlah salam, berilah makan(kepada oramg fakir), sambunglah tali silaturahim, dan sembahyanglah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat."        (HR Ahmad, Tarmidzi dan Ibnu Majah)

Salah satu hadith yang saya sukai adalah seperti berikut:

"Tuhan kami turun ke langit dunia pada setiap malam ketika tinggal sepertiga malam yang terakhir, kemudian Dia berfirman:  "Sesiapa yang berdoa kepada Ku, maka Aku kabulkan.  Sesiapa yang meminta kepada Ku, maka akan Aku beri.  Dan sesiapa yang memohon ampun kepada Ku, maka akan Aku ampuni."

Ayat dan hadith-hadith di atas boleh memberi kita motivasi untuk melakukan Qiyaamu lail.  

Dari hadith, Rasullulah SAW diriwayatkan melakukan 11 atau 13 rekaat solat dalam Qiyaamu lail. Disebabkan matlamat saya menulis blog ini adalah untuk memberi pengenalan mudah kepada sunnah harian, saya akan andaikan kita bangun 15-30 minit sebelum masuk waktu Subuh.  Jadi setelah melakukan sunnah-sunnah lain setelah bangun pagi(seperti yang telah diceritakan dalam posting-posting sebelum ini), kita hanya ada masa yang singkat untuk Qiyaamu lail.

Dengan itu, lakukanlah Solat Witr.  Bab tentang cara dan kaedah solat witr boleh rujuk pada guru masing-masing atau kitab.  Jika dalam masa yang singkat, buatlah 3 rekaat.  Dan jika terlalu singkat, mengikut hadith :"Dan jika kamu takut waktu Subuh tiba, maka berwitirlah satu rekaat."  (HR Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Satu perkara yang bagus tentang Qiayaamu lail dan Solat Witr ini adalah biasanya ia dilakukan tanpa dilihat sesiapa kecuali Allah dan para malaikat.  Ibadat ini tidak diketahui orang ramai dan tidak perlu diketahui orang ramai.  Ini berbeza dengan solat sunat dhuha yang selalunya berlaku ketika waktu bekerja dan selalunya akan dilihat orang lain dan juga akan mengambil masa bertugas.  

Rumusan posting kali ini adalah tentang keistimewaan dan mudahnya Qiyaamu lail.  Jika ingin memulakannya(tidak pernah lakukan sebelum ini dan tidak cukup masa apabila bangun sebelum Subuh), mula dahulu dengan 3 rekaat Solat Witr.  Jika tidak cukup masa untuk 3 rekaat, lakukan 1 rekaat.  Seperti sabda Rasullullah SAW:  "Sembahyang witirlah wahai Ahli al-Quran, kerana sesungguhnya Allah itu witr dan Ia menyukai witr."  (HR Ahmad, Abu Daud dan Tarmidzi)

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Wednesday 30 March 2016

#13 - Bangun Pagi - Membaca dari Surah Al-Imran Ayat 190 hingga Akhir Surah

Setelah melakukan semua sunnah dan hajat di bilik air selepas bangun pagi, kita keluar dari bilik air dengan langkah kaki kanan. Insyallah kita juga telah mengambil wudhu.

Menurut hadith riwayat Bukhari dan juga hadith riwayat Muslim, Rasullullah SAW selepas bangun pagi, selain dari membaca doa (yang telah diajar di posting #5) Baginda akan juga menatap ke arah langit sambil membaca Surah Al-Imran Ayat 190 hingga ke akhir surah.  Saya tidak menyatakan perkara ini sebelum ini kerana saya yakin tidak ramai di antara kita yang telah hafal ayat-ayat tersebut.  Untuk itu, saya andaikan kita akan memerlukan Al-Quran untuk mengamalkan perkara ini.

Jadi, selepas keluar bilik air dan setelah ada wudhu, kita hidupkan sunnah dengan membaca Ayat 190 dari Surah Al-Imran hingga ke akhir surah.  Insyallah ini akan mengambil masa lebih kurang 3 minit. Lama-kelamaan, jika selalu diamalkan, insyallah kita akan menghafalnya.  Ketika itu, bolehlah membacanya apabila kita bangun dari tidur.

Pada masa yang sama, ingatlah juga bahawa Al-Quran adalah bukan sahaja untuk dibaca, tetapi juga difahami apa yang dibaca serta diamalkan apa yang diajar Al-Quran.  Ada ditulis di dalam tafsir Ibnu Kathir tentang ayat-ayat ini di mana Rasullullah SAW bersabda: "Celakalah orang yang membaca ayat-ayat ini, tetapi tidak memikirkan apa yang terkandung di dalamnya."

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.






Wednesday 23 March 2016

# 12 - Adab Keluar Dari Bilik Air - Langkah Kaki Kanan

Setelah 3 bulan membuat posting tentang sunnah harian yang boleh kita amalkan dalam tempoh 24 jam dalam sehari, kita masih di waktu pagi.  Ini menunjukkan dalam waktu bangun pagi yang singkat, telah banyak sunnah yang boleh kita lakukan.  Apa yang telah dikongsi kebanyakkannya adalah perbuatan fizikal dan bukan merupakan ibadah khusus seperti solat atau membaca Al-Quran. Dari segi doa atau zikir yang perlu dihafal dan diamal hanya dua sahaja sebelum ini.

Kita telah berada di bilik air dan saya tidak sentuh perihal wudhu atau buang air. Ini kita lakukan lain kali, insyallah.   Setelah habis melakukan sunnah-sunnah seperti bersiwak, berkumur dan beberapa lagi (#7, #8 dan #9) seperti yang dikongsi melalui posting yang lalu, kini kita keluar dari bilik air.

Jika apabila memasuki bilik air kita mengunakan langkah kaki kiri dahulu, apabila kita keluar tandas (iaitu dari tempat yang tidak baik, tempat tinggal Iblis), kita mulakan dengan langkah kanan dahulu.

Sekali lagi, satu sunnah yang mudah.  Apabila masuk bilik air atau tandas, guna kaki kiri dahulu.  Apabila keluar, guna kaki kanan dahulu.  Semoga amalan kita diterima Allah sebagai ibadah dan bekalan terbaik di akhirat.  Memang kita akan masuk dan keluar bilik air beberapa kali sehari. Jadikanlah perbuatan tersebut sebagai ibadah.

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Tuesday 15 March 2016

# 11 = Adab Masuk Ke Bilik Air - Zikir Ketika Hendak Masuk Ke Bilik Air

Minggu lalu saya telah menyentuh tentang isu tandas dan bilik air yang di zaman moden ini berada di satu ruang yang sama.  Zikir atau doa ini adalah untuk masuk ke tandas tetapi kerana disebabkan kedudukan tandas yang berada di bilik air, maka saya gunakan untuk masuk ke bilik air.

Sambil kita masuk bilik air dengan kaki kiri (dan bukan kaki kanan) seperti dari sunnah yang diterangkan minggu lalu dengan posting #10, ada zikir atau doa yang boleh diamalkan:



Maksudnya:

"Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari jin jantan dan jin betina."

Zikir ini adalah dari hadith Riwayat Bukhari dan Muslim. 

Saya memulakan blog ini dengan tujuan untuk berkongsi bahawa dalam 24 jam kita hidup sehari, dari pagi hingga tidur(dan sewaktu tidur), kita boleh mengamalkan dan menghidupkan sunnah yang mudah supaya setiap saat kita diberkati Allah. Pada masa yang sama, ianya akan membuat saya amalkan sunnah-sunnah yang dikongsi di sini secara istiqomah kerana apa yang kita kongsi, kita perlu amalkan.

Dalam memenuhi matlamat di atas ini, definisi "mudah" adalah sunnah yang tidak perlu hafal doa atau bacaan apa-apa.  Sekali-sekala kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa terdapat banyak zikir dan doa yang diamalkan Rasullullah SAW.  Jika ada yang mudah (seperti sebelum ini DOA BANGUN PAGI), saya akan kongsi.  Post kali ini begitu juga.  

Sekurang-kurangnya boleh bermula dengan yang Bahasa Melayu sambil kita belajar yang dari sunnah dalam Bahasa Arab.  Letak di kawasan yang boleh dilihat dekat dengan pintu bilik air rumah dan baca sebelum masuk.  Lebih baik jika kita tulis sendiri doa tersebut untuk ditampal di kawasan yang dipilih itu. Insyallah setelah setiap hari mengamalkan zikir ini beberapa kali, setelah seminggu kita susah hafal. 

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh. 




Tuesday 8 March 2016

# 10 - Adab Masuk Ke Bilik Air - Langkah Kaki Kiri

Sunnah-sunnah #7, #8 dan #9 dari minggu-minggu yang lalu menyentuh tentang perkara-perkara sunnah yang dilakukan apabila bangun pagi. Jika tidak ingat atau belum diamalkan, sila rujuk kembali posting-posting sebelum ini. Sunnah-sunnah yang mudah.  Ketiga-tiga perkara tersebut kemungkinan besar akan dilakukan di bilik air.  Pada zaman dahulu dan hari ini di kampung, kebiasaannya tempat tandas dan tempat mandi berada di bilik yang berasingan.  Dalam zaman moden ini, kebanyakan rumah atau tempat kediaman akan mempunyai bilik air di mana tempat mandi serta tandas berada di dalam satu bilik. 

Mengikut Hadith Riwayat Bukhari, Iblis telah memohon dari Allah untuk tempat tinggal di dunia ini seperti yang diberikan Allah kepada Nabi Adam dan keturunannya.  Allah telah menjawap bahawa tempat Iblis dan keturunannya adalah di tandas. Dengan itu, Iblis akan menggoda semua yang masuk ke rumahnya, iaitu tandas.  Itulah sebabnya kita tidak digalakkan berada di tandas lama. Ini belum cerita tentang apa iblis lakukan jika ada di antara kita membaca buku, akhbar, majalah atau handphone ketika duduk di tandas. Mungkin boleh cerita lain kali? 

Jadi sunnah yang pertama untuk kita diamalkan apabila memasuki tandas adalah dengan langkah kaki kiri dahulu.  Jauhi memasuki tandas dengan kaki kanan.  Allahu 'alam.

Sekali lagi, suatu sunnah yang mudah kan? Dari waktu bangun pagi boleh diamalkan dengan mudah. Kalau satu hari 6 kali memasuki tandas, sudah 6 kali lakukan sunnah.  Dapat pahala apabila memasuki tandas!

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.


Tuesday 1 March 2016

#9 - Bangun Tidur Pagi - Cuci Tangan Tiga Kali

Masih dengan topik setelah bangun tidur pagi, ia menjadi sunnah untuk kita mencuci tangan kita tiga kali.  Ini perbuatan yang mudah untuk dijadikan amalan harian tanpa perlu belajar atau hafal apa-apa doa.  

Sunnah ini adalah berdasarkan hadith:

"Apabila kamu bangun dari tidur, janganlah memasukkan tangan ke dalam bekas air sebelum mencuci tangan sebanyak tiga kali." 
(HR Bukhari dan Muslim)

Mudahkan?  Insyallah. 

Kalau sunnah-sunnah dari posting sebelum ini diikuti(bersama posting ini) dan diamalkan, dalam masa 5 minit pertama yang singkat setelah bangun pagi,  kita sudah dapat mengamalkan 5 sunnah.
Jadilah permulaan hari kita setiap hari diberkati Allah.

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh. 

Tuesday 23 February 2016

#8 - Bangun Tidur Pagi - Menghirup Air Melalui Hidung

Sambungan dari minggu lalu di mana kita telah BERSIWAK / GOSOK GIGI setelah bangun tidur pagi, minggu ini kita tambah dengan satu lagi sunnah yang boleh diamalkan iaitu MENGHIRUP AIR MELALUI hidung dan kemudian kita mengeluarkan atau menyembur air tersebut keluar.  Ini adalah seperti perbuatan sunat ketika mengambil wudhu.  

Ini berdasarkan hadith:

"Apabila seorang di antara kamu bangun tidur, maka berinstisaarlah tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya."
(HR Bukhari dan Muslim)

Berinstisaar ini sama seperti perbuatan sunat memasukkan air ke hidung dan kemudian menghembus air tersebut keluar.  Ini dilakukan tiga kali.  

Secara peribadi, saya tidak gemar akan sunnah ini dari segi perbuatan.  Pada masa yang sama, jika kita membaca mengapa ini sunnah(mengikut hadith di atas) maka ianya memberi kita motivasi untuk melakukannya. Kita mengeluarkan syaitan yang bermalam di batang hidung kita.   Semoga kita mendapat pahala menghidupkan sunnah dengan perbuatan ini.

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.