Tuesday 23 February 2016

#8 - Bangun Tidur Pagi - Menghirup Air Melalui Hidung

Sambungan dari minggu lalu di mana kita telah BERSIWAK / GOSOK GIGI setelah bangun tidur pagi, minggu ini kita tambah dengan satu lagi sunnah yang boleh diamalkan iaitu MENGHIRUP AIR MELALUI hidung dan kemudian kita mengeluarkan atau menyembur air tersebut keluar.  Ini adalah seperti perbuatan sunat ketika mengambil wudhu.  

Ini berdasarkan hadith:

"Apabila seorang di antara kamu bangun tidur, maka berinstisaarlah tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya."
(HR Bukhari dan Muslim)

Berinstisaar ini sama seperti perbuatan sunat memasukkan air ke hidung dan kemudian menghembus air tersebut keluar.  Ini dilakukan tiga kali.  

Secara peribadi, saya tidak gemar akan sunnah ini dari segi perbuatan.  Pada masa yang sama, jika kita membaca mengapa ini sunnah(mengikut hadith di atas) maka ianya memberi kita motivasi untuk melakukannya. Kita mengeluarkan syaitan yang bermalam di batang hidung kita.   Semoga kita mendapat pahala menghidupkan sunnah dengan perbuatan ini.

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Tuesday 16 February 2016

#7 - Bangun Tidur Pagi - Bersiwak / Gosok Gigi

Setelah bercerita pada minggu lalu tentang sunnah DOA BANGUN TIDUR untuk diamalkan, ada lagi zikir tambahan.  Itu akan dikongsi lain masa insyallah.  Tujuan blog ini adalah untuk berkongsi sunnah-sunnah harian yang boleh dilakukan dengan mudah tanpa perlu belajar atau hafal banyak sangat doa atau zikir.  Kerana minggu lalu baru sahaja belajar satu doa, kita tinggalkan doa atau zikir tambahan tersebut untuk waktu yang lain.  Kita belajar yang mudah dahulu.

Sunnah seterusnya adalah berdasarkan hadith:

"Apabila bangun dari tidur di malam hari, Rasullullah SAW mengosok gigi dengan siwaak."

(HR Bukhari dan Muslim)

Walaupun hadith menyatakan "dengan siwaak", dalam zaman ini amat jarang kita mengunakan siwaak.  Kita akan biasa mengunakan berus gigi.  Semoga Allah menerima amalan kita ini.

Untuk mengosok gigi, kita juga akan memasuki bilik air dan ini juga mempunyai doa yang tersendiri. Sekali lagi, untuk tidak merumitkan pembelajaran sunnah buat masa ini, doa tersebut akan dihuraikan pada waktu yang lain.  Insyallah.

Saya yakin kita semua akan mengosok gigi apabila bangun pagi.  Itu sesuatu perkara yang lumrah dilakukan kita.  Mulai hari ini, pasanglah niat untuk melakukannya kerana Allah dan kerana menghidupkan sunnah.  Jadikan amalan biasa harian tesebut sebagai sunnah.

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Tuesday 9 February 2016

#6 - Bangun Tidur Pagi - Doa Bangun Tidur

Minggu lalu, kita belajar tentang MENGUSAP BEKAS TIDUR DI MUKA DENGAN TANGAN apabila kita bangun pagi dari tidur.

Kali ini kita belajar tentang doa bangun pagi di mana apabila kita bangun pagi, terus kita baca doa ini:

Ini datangnya dari hadith:

"Ketika bangun, Rasullulah SAW membaca:'(Alhamdullilahil-ladzi ahyana ba'da ma amatana wa ilaihin-nusyur).' "
(HR Bukhari)

Nota:baca dan amalkan mengunakan doa yang ditulis jawi di atas. 


Maksud doa tersebut: "Segala pujian bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan hanya kepada-Nyalah kami dibangkitkan."

Jika melihatkan kepada makna doa tersebut, ianya memberi erti kepada maksud tidur yang merupakan kematian kecil kita dan apabila kita bangun pagi, ianya hanya berlaku kerana Allah membenarkannya. Suatu hari nanti,  kita akan mati dan hanya bangkit di akhirat untuk ke Padang Masyhar. Jadi baik kita biasakan diri untuk bangkit dari tidur/mati dengan mengingati Allah, di mana nama Allah dibibir kita.

Secara practikal, untuk mula mengamalkan sunnah ini, salin doa ini dengan tulisan besar di kertas A4 dan letak di tepi tempat tidur. Selepas bangun dan setelah MENGUSAP BEKAS MUKA, ambil kertas tersebut dan bacalah doa ini.  Insyallah jika dilakukan setiap hari, setelah beberapa minggu kita akan hafal. Saya sendiri ketika menghafal doa ini dahulu, ada kala tiada doa tersebut di tepi tempat tidur(saya mengunakan kitab), saya ingat maksud doa ini dalam Bahasa Melayu dan saya berdoa dalam bahasa ibunda saya.  Itu mudah ingat, dengan izin Allah, kerana kita memberi pujian bagi Allah yang telah menghidupkan kita setelah mematikan kita.

Lama-kelamaan, insyallah sambil kita MENGUSAP BEKAS MUKA kita, mulut kita boleh membaca DOA BANGUN TIDUR ini.

Sunnah minggu ini - DOA BANGUN TIDUR - dan sunnah minggu lepas - MENGUSAP BEKAS MUKA - adalah dua sunnah berbeza.  Tidak semestinya lakukan kedua-duanya sekali atau ada turutannya. Juga boleh lakukan satu tanpa yang lagi satu.  Kedua sunnah ini mudah dan insyallah kita boleh amalkan kedua-duanya.

Semoga hidup kita diberkati Allah apabila bangun pagi dengan sunnah dan ayat pertama yang keluar dari mulut kita adalah doa atau zikir pujian bagi Allah.  Seperti kata orang Inggeris: "What an awesome way to start your day!"  Awesomely Alhamdullilah!

Sekian. Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Tuesday 2 February 2016

#5 - Bangun Tidur Pagi - Mengusap Bekas Tidur Di Muka Dengan Tangan

Tujuan blog ini adalah untuk berkongsi sunnah harian bermula dari saat kita bangun sehingga ke waktu kita tidur.  Matlamatnya adalah untuk:

1. Menunjukkan bahawa kita boleh berusaha beribadat setiap waktu dalam sehari kehidupan dengan mengamalkan sunnah yang mudah
2. Mengingatkan diri saya tentang sunnah-sunnah harian serta untuk beristiqomah dalam mengamalkan sunnah-sunnah tersebut

Setelah sebulan posting dengan 4 sunnah harian yang boleh diamalkan pada bila-bila masa kita bertemu orang dalam kehidupan seharian, hari ini kita bermula dari saat kita membuka mata apabila bangun tidur pagi.  Ini sunnah yang mudah.

Imam Nawawi dan Ibnu Hajar menyatakan bahawa:

"Rasulullah SAW bangun tidur kemudian duduk sambil mengusap bekas tidur dari wajahnya dengan tangannya."
    (HR Muslim)

Jadi apabila kita bangun pagi, duduk dan sapu muka kita dengan tangan.  Mulakan bangun pagi dengan sunnah.


Sekian. Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.