Tuesday 26 January 2016

#4 - Berkata-kata Baik (Kalimah Tayyibah)

Rasullullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau hendaklah ia diam."
(HR Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Apabila kita mahu bertutur, kita perlu berfikir samada apa yang akan dikatakan itu KATA-KATA YANG BAIK atau tidak.  Jika tidak, baik kita diam sahaja.

Untuk mengalakkan kita memberi KATA-KATA YANG BAIK (KALIMAH TAYYIBAH), Rasullullah SAW juga ada bersabda bahawa jika kita BERKATA-KATA BAIK(KALIMAH TAYYIBAH) maka ianya adalah sedekah.

Jika mengimbas kembali sunnah #1,#2 dan #3 dari minggu-minggu yang lalu di blog ini,  apabila kita berjumpa orang (MEMBERI SALAM, SENYUM dan BERJABAT TANGAN), kita tambah pula KATA-KATA BAIK(KALIMAH TAYYIBAH).  Dengan itu, setiap kali kita berjumpa orang Muslim yang lain, maka kita dapat lakukan empat sunnah serentak.  Apabila berjumpa dengan dengan orang bukan Muslim atau orang yang berlawanan jantina(kecuali mahram kita), pandai-pandailah kita ubahsuai keempat-empat perbuatan ini.  Seperti yang saya kata sebelum ini, tanyalah guru atau ustaz yang biasa menjadi sumber rujukan anda.

Bayangkan bagaimana kita sebagai seorang Muslim akan dapat membawa syiar Islam dan berdakwah dengan BERKATA-KATA YANG BAIK(KALIMAH TAYYIBAH) dalam kehidupan seharian kita.

Mungkin adakala dalam pergaulan kita dengan rakan-rakan kita ada bergurau dan bersindir.  Ada baik jika kita fikirkan tentang apa yang dibicarakan di sini dalam cara kita bergaul dengan rakan-rakan kita.  Semoga Allah memberi kita petunjuk untuk menjadi orang Muslim yang lebih baik.

Kita akhiri dengan sedikit ayat dari Al-Quran, dari Surah Al-Hujurat(49) Ayat 11:  "Janganlah kamu saling mencela antara satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk"

Sekian. Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Tuesday 19 January 2016

#3 - Berjabat Tangan

Rasullullah SAW bersabda: "Tiada seorang Muslim yang bersalaman antara keduanya, kecuali Allah akan mengampunkan keduanya sebelum berpisah"
(HR Abu Daud dan Tirmidzi)

Dari hadith ini, kita dapat belajar bahawa dengan perbuatan mudah kita - BERJABAT TANGAN - dengan orang Muslim lain, ianya boleh menghapuskan dosa kita dan saudara yang kita berjabat tangan itu.  Rasullulah SAW juga ada menyebut bahawa dengan berjabat tangan, ianya boleh menghilangkan kebencian di antara kedua pihak.

Rasullullah SAW mengalakkan orang Islam untuk berjabat tangan sesama sendiri.  Para sahabat Rasullullah SAW memang suka berjabat tangan kerana mengikuti apa yang digemari Baginda. Baginda juga dilaporkan sebagai suka berjabat tangan.  

Pada masa yang sama, perlu kita ingat bahawa kita tidak boleh berjabat tangan dengan berlawanan jantina - lelaki dan perempuan atau perempuan dan lelaki - kecuali dengan orang yang menjadi mahram kita. 

Jadi adalah menjadi sunnah untuk kita berjabat tangan apabila bertemu dengan saudara Islam kita. Ini adalah peluang untuk mendapat pahala mudah dan banyak setiap hari. Jangan kedekut untuk mendapatkan pahala untuk diri kita.  Berjabat tangan adalah simbolik untuk memberitahu orang yang menerima jabat tangan tersebut bahawa kita kawan, dan kita tidak bermusuh. 

Jika kita MEMBERI SALAM - assalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh - yang disertakan dengan SENYUM bersama dengan JABAT TANGAN apabila kita bertemu seorang Muslim, maka kita telah melakukan tiga sunnah dengan serentak.  Subhanaullah! 

Mudahkan? 

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh. 

Tuesday 12 January 2016

#2 - Senyum

Minggu lalu saya telah menulis tentang sunnah MEMBERI SALAM.  Sambungan dari itu, insyallah untuk minggu-minggu seterusnya di bulan Januari ini, saya akan berkongsi beberapa sunnah yang berkaitan dengan adab apabila bertemu orang.

Sunnah minggu ini adalah SENYUM.  Seorang Muslim perlu ceria dengan senyuman apabila bertemu orang.  Jika kita memberi salam - Assalamu alaykum wm wb - tambahlah seri dengan senyuman.  Jika kita bertemu dengan orang bukan Islam yang tidak diberi salam, beri juga senyuman sambil memberi ucapan seperti "Hi" atau "Hello" atau "Selamat Pagi" atau mana-mana lagi ucapan yang digunakan.

Seperti sabda Rasullullah SAW: "Janganlah engkau anggap remeh apa-apa amalan yang baik walaupun kebaikan itu sekadar menunjukkan muka yang manis semasa bertemu saudaramu."
[HR Muslim]

Seorang sahabat berkata bahawa : "Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasullullah SAW."
[HR Tirmidzi]

Senyum bukan perkara remeh kerana ianya sedekah atau ibadah. Biasa saya mendengar orang kata bahawa dia nak kaya kerana jika dia kaya dia boleh banyak bersedekah. Pada masa yang sama, kita boleh juga bersedekah dengan mudah, tanpa banyak wang atau masa, melalui senyuman.  Jika memang kita banyak wang atau harta, jangan pula guna alasan yang banyak senyum sudah memadai.  Rasullullah SAW ada bersabda: "Senyumanmu ketika bertemu saudaramu (sesama Muslim) adalah bernilai sedekah bagimu."  [HR Tirmidzi dan Ibnu Hibban]

Senyum Sokmo!

Ingat juga dalam kita mempraktikkan sunnah senyum ini, perlu bertempat.  Jangan guna sunnah ini sebagai alasan untuk tujuan maksiat seperti senyum di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Senyum mempunyai kuasa yang ajaib.  Senyum boleh mencairkan hati manusia.  Cuba kita lontarkan senyum.  Sudah pasti akan dibalas dengan senyuman, dan juga pahala.  Hidupkan sunnah dengan memberi senyuman. Semoga suatu hari kita akan menerima senyuman Rasullullah SAW.

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Tuesday 5 January 2016

#1 Memberi Salam - Assalamu alaykum wm wb

Kita sebagai seorang Muslim diajar untuk mengucapkan salam kepada orang Muslim yang lain apabila kita bertemu. 

Ucapan salam yang terbaik adalah dengan mengucapkan:


                                                            السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


iaitu "Assalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh"


yang ertinya:  


"Semoga kesejahteraan, rahmat Allah dan berkat-Nya dilimpahkan kepadamu.


Ini berdasarkan hadith sahih al-Bukhari dan sahih Muslim di mana seorang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang manakah di antara syariat Islam yang paling baik. Jawapannya:


"Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada sesiapa pun, baik yang engkau kenal atau tidak."


Penyampaian salam seperti yang diberi di atas mengikut hadith yang menceritakan bahawa selepas Allah mencipta Nabi Adam, dia telah diajar Allah untuk mengucapkan salam kepada para malaikat di syurga. Ucapan Nabi Adam serta jawapan dari para malaikat menjadi tatacara ucapan salam kita cucu Nabi Adam sehingga kini.


Dalam hidup seharian kita, kita akan berurusan dan bertemu dengan ramai orang Islam. Gunalah setiap interaksi tersebut sebagai peluang mengamalkan sunnah serta mengumpul pahala untuk hari akhirat. Dengan memberi salam, kita juga mendapat doa kesejahteraan, rahmat dan keberkataan Allah dari yang menjawap ucapan salam kita.  Ini lebih baik dari mengunakan ucapan seperti "Selamat Pagi", "Hello", "Hi" atau mana-mana ucapan yang lain.  


Apabila bertemu orang, jadilah orang yang pertama untuk memberi salam kerana Rasullullah SAW bersabda:


"Sesunggunya orang yang paling dekat dengan Allah adalah yang paling pertama mengucapkan salam." 


Samada salam kita dijawap atau tidak, itu bukan menjadi masalah kita yang memberi salam.  Dari segi prinsip, memberi salam adalah sunat dan menjawap salam adalah wajib. Secara praktikalnya dalam zaman moden yang mengunakan surat atau emel atau sms atau whatsapp atau twitter, memadai jika kita menjawap dengan lisan tanpa menaip jawapan kita. 


Jawapan kita apabila diberi salam adalah:


 "Wa alaykumusalam wa rahmatullahi wa barakaatuh"


Topik ucapan salam dan perkara yang berkaitan ini lebih luas dari apa yang ditulis di sini. Ini sekadar peringatan ringkas untuk kita mempraktikkan sunnah yang mudah ini,di mana setiap hari kita bertemu banyak peluang untuk melakukannya. Saya pernah memberitahu kepada rakan-rakan yang bertugas melayan pelanggan (mungkin 20-50 sehari) yang mereka diberi rezeki untuk melakukan sunnah ini sepanjang sehari mereka bekerja. Rugi jika tidak melakukannya. Kita boleh bermula dengan keluarga dan rakan kerja kita.  


Sekian. Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.