Tuesday 12 January 2016

#2 - Senyum

Minggu lalu saya telah menulis tentang sunnah MEMBERI SALAM.  Sambungan dari itu, insyallah untuk minggu-minggu seterusnya di bulan Januari ini, saya akan berkongsi beberapa sunnah yang berkaitan dengan adab apabila bertemu orang.

Sunnah minggu ini adalah SENYUM.  Seorang Muslim perlu ceria dengan senyuman apabila bertemu orang.  Jika kita memberi salam - Assalamu alaykum wm wb - tambahlah seri dengan senyuman.  Jika kita bertemu dengan orang bukan Islam yang tidak diberi salam, beri juga senyuman sambil memberi ucapan seperti "Hi" atau "Hello" atau "Selamat Pagi" atau mana-mana lagi ucapan yang digunakan.

Seperti sabda Rasullullah SAW: "Janganlah engkau anggap remeh apa-apa amalan yang baik walaupun kebaikan itu sekadar menunjukkan muka yang manis semasa bertemu saudaramu."
[HR Muslim]

Seorang sahabat berkata bahawa : "Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasullullah SAW."
[HR Tirmidzi]

Senyum bukan perkara remeh kerana ianya sedekah atau ibadah. Biasa saya mendengar orang kata bahawa dia nak kaya kerana jika dia kaya dia boleh banyak bersedekah. Pada masa yang sama, kita boleh juga bersedekah dengan mudah, tanpa banyak wang atau masa, melalui senyuman.  Jika memang kita banyak wang atau harta, jangan pula guna alasan yang banyak senyum sudah memadai.  Rasullullah SAW ada bersabda: "Senyumanmu ketika bertemu saudaramu (sesama Muslim) adalah bernilai sedekah bagimu."  [HR Tirmidzi dan Ibnu Hibban]

Senyum Sokmo!

Ingat juga dalam kita mempraktikkan sunnah senyum ini, perlu bertempat.  Jangan guna sunnah ini sebagai alasan untuk tujuan maksiat seperti senyum di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Senyum mempunyai kuasa yang ajaib.  Senyum boleh mencairkan hati manusia.  Cuba kita lontarkan senyum.  Sudah pasti akan dibalas dengan senyuman, dan juga pahala.  Hidupkan sunnah dengan memberi senyuman. Semoga suatu hari kita akan menerima senyuman Rasullullah SAW.

Sekian.  Wassalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

4 comments: